Sunday 24 February 2013

TIPS : 4 kunci pembuka ghairah pengantin


Wanita Anggun: 4 kunci pembuka ghairah pengantin




1. Emosi

Tak kira pengantin baru atau lama mereka mesti bijak kawal emosi. Jangan terlalu sensitif dan jangan terlampau kebalkan hati, segala sesuatu hendaklah bersifat pertengahan dan seimbang jika mahu berjaya dalam perhubungan.

Kalau merajuk saja memang manis mula-mula, tapi boleh meluat juga lama-lama. Jangan tertipu dengan jantina, kadang-kadang lelaki lebih sensitif daripada wanita. Begitu juga sikap mementingkan diri sendiri tak semestinya lelaki yang lebih menonjol daripada wanita.

Keras kepala, pemarah dan pemalas boleh jadi tabiat siapa saja, dan bagi yang merasa jadi mangsa dia kena mengurus emosi agar tidak terpengaruh dengan pasangannya yang bermasalah itu.

Setiap hari tidak semestinya anda yang jadi mangsa, boleh jadi besok anda pula yang jadi pemangsa. Tak payah nak kecewa berpanjangan kerana sifat manusia tiada yang sempurna. Fahami diri sendiri dan maafkan pasangan adalah kunci untuk mengawal emosi.

2. Komunikasi
Suami kata: “Sayang, makan di kedai ini mahal tau!” Isteri fikir suami berkira dan kedekut padahal suami kata begitu maksudnya dia bangga boleh belanja isteri makan yang mahal-mahal. Lalu isteri pun tak nak makan kerana terkilan dengan kata-kata suami, suami pula rasa tidak dihargai. Akhirnya dua-dua merajuk!

Keluarga isteri datang, suami buat tak layan. Isteri sakit hati menyangka suami tak hormat keluarganya. Padahal suami pulang kerja dalam keadaan yang amat lapar, letih dan tertekan akibat kesesakan jalan raya.

Dia hanya fikir makan dan rehat ketika tiba di rumah. Isteri pula fikir suami tak suka kedatangan keluarganya lalu dia pun memarahi suami. Suami tercabar dan perang pun makin sengit kerana kedua-duanya sudah salah faham. Siapa yang tak melenting jika sedang lapar tapi isteri tak layan dan siapa yang tak marah jika suami buat muka masam di depan tetamu.

Situasi sebegini terjadi kerana suami dan isteri tidak pandai membaca gerak tubuh dan gerak hati pasangan. Pengantin baru mungkin mengalami keadaan ini, tapi jika pasangan lama pun masih tak faham ‘membaca’ pasangannya, ini sudah melampau!

Takkan berpuluh tahun hidup bersama tak kenal lagi siapa isteri dan suami anda. Komunikasi yang berlandaskan ‘utamakan pasangan anda daripada diri anda sendiri’ boleh menyelamatkan perkahwinan. Namun begitu ia mesti dijalani bersama, jika tidak ia akan menzalimi siapa yang selalu mengalah saja.

3. Resolusi
Bagi para pengantin baru jangan terkejut jika anda terlalu cepat mengalami konflik dengan pasangan. Baru semalam melalui malam pengantin yang indah, tiba-tiba pagi ini anda lihat suami murung.

Anda bingung dan fikir macam-macam, sangkaan buruk terhadap suami kali pertama telah hadir dalam hati. Anda pun cuba bertanya, dia pula buat merajuk dan tak layan. Anda bertambah bingung! Perkara sebegini menuntut isteri supaya bijak menyelesaikan konflik sebaik mungkin.

Setiap konflik mesti diikuti dengan resolusi bersama, baik konflik yang kecil apatah lagi yang besar. Jangan belenggu fikiran anda dengan sikap pasangan yang mencetuskan konflik tetapi cubalah matangkan hati dan fikiran dengan mencari jalan keluar! Fikirkan resolusi jangan hanyut dalam sensitiviti.

4. Orientasi
Bukan mudah kekalkan kemesraan, kalau pengantin baru pun dah terlibat konflik, apatah lagi yang berpuluh tahun berkahwin. Tak kira tua atau muda yang mustahak anda mesti belajar memahami pasangan. Perkahwinan sebenarnya medan orientasi kehidupan dua insan. Anda tidak akan pernah berhenti mempelajari tentang sikapnya, gerak hati dan tubuhnya, pemikiran dan perasaannya. Anda sedang mengkaji zahir dan batin pasangan sekali gus memahami diri sendiri!

Selamat pengantin baru, tidak semua cerita cinta itu indah. Sesekali airmata keinsafan perlu dititiskan untuk menyuburkan ghairah iman dan kasih sayang.

No comments:

Post a Comment

Komen~Komen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...